Pintu Gerbang Kampung Parit Baru Baruh

Kampung Sungai Lang merupakan nama asal bagi kampung ini. Nama Sungai Lang ini diambil sempena daripada burung helang laut yang tinggal di kawasan pokok yang terdapat di sepanjang tebing sungai. Namun, kini telah telah ditukar menjadi nama Kampung Parit Baru Baruh kerana kedudukannya yang terletak di utara Negeri Selangor.

Pada tahun 1930-an, kampung ini dibangunkan oleh golongan masyarakat yang datang dari Daerah Hilir Perak terutama dari Bagan Datoh dan Hutan Melintang. Mereka telah meneroka kawasan ini secara meluas untuk mewujudkan sebuah kampung. Oleh itu, mereka telah menggunakan sungai sebagai jalan untuk ke kampung ini. Kampung ini diketuai oleh Tuan Haji Abdul Hassan Bin Haji Abdul Razak. Selain itu, mereka bercucuk tanam dan menanam padi untuk menyara hidup.

Pada tahun 1938, nama Kampung Sungai Lang telah ditukar kepada nama Kampung Parit Baru di bawah pentadbiran dua (2) mukim iaitu Mukim Bagan Nakhoda Omar dan Mukim Sungai Air Tawar. Selain itu, terdapat juga dua buah kampung lagi telah diwujudkan iaitu Kampung Teluk Rhu dan Kampung Sungai Apong.

Pada tahun 1961, Kampung Parit Baru di bawah pentadbiran Mukim Bagan Nakhoda Omar telah dikenali sebagai Kampung Parit Baru Pekan. Manakala, Kampung Parit Baru kawasan utara  di bawah pentadbiran Mukim Sungai Air Tawar pula dikenali sebagai Kampung Parit Baru Baruh.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                           (Sumber SPKPN )